Categories
sharing

Kenangan-Pustaka Ilmu

Satu masa dahulu ….

“Perpustakaan” salah satu tempat istimewa untuk saya. Ia memiliki nilai sentimental yang tinggi dalam sepanjang tangga kehidupan saya. Sewaktu kecil, ayah ibu tidak terlepas peluang bawa saya dan arwah abang ke Perpustakaan Negara tiap kali cuti sekolah. Dari hanya terlimitasi diruang kanak-kanak hingga saya berusia 13 tahun, dibenarkan untuk naik ke ruang pembacaan dewasa.

Satu masa dahulu, Perpustakaan Negara menggunakan sistem kad ahli yang perlu diperbaharui secara tahunan. Kad tersebut membolehkan akses ke bangunan utama dan ke semua tingkat bangunan utama perpustakaan. Selain daripada itu, ia membolehkan kita meminjam buku bacaan umum. Jika tertinggal kad perpustakaan , memang tak dapat masuklah jawabnya.

Sewaktu sekolah menengah, saya kerap datang ke sini selepas habis sesi pagi kelas tambahan. Naik bas, jalan sedikit lebih kurang 500 meter dan akan ulangkaji hingga lewat petang jam 5. Kebiasaannya saya akan tempah Bilik Karel. Ia merupakan bilik tertutup yang agak privasi. Di sini, saya dapat lebih fokus berbanding di ruang-ruang umum yang agak terbuka.

Suasana perpustakaan negara sangat meriah pada zaman saya. Hujung minggu sentiasa ramai. Berbagai lapisan umur dan bukan hanya terhad pada pelajar sekolah sahaja. Tambahan lagi, lokasinya yang terletak tidak jauh dari Universiti Teknologi Malaysia, kampus Jalan Semarak membuatkan ramai siswa-siswi yang datang membuat ulangkaji mahupun kajian penyelidikan. Saya tak terlepas juga menjadi responden mereka yang ketika itu, soalan survei diedarkan secara fizikal dan kemudian akan dapat goodies seperti pensil sebagai token penghargaan menjawab soalan survei.

Berbagai tempat diperpustakaan yang saya explore ada bilik interaksi media, ada sebuah machine monogram yang mana kita boleh gunakan untuk me’review’ bahan surat khabar yang terbitannya kurang dari tahun 1990 an. Saya gunakan bahan tersubut untuk portfolio SPM saya sengan memasukkan bahan-bahan “sebenar” dari bacaaan yang saya dapat sebagai “bukti” dan penjelasan dari sudut pandang yang lain. Sangat menarik.

Semasa inilah saya rasakan sangat teruja untuk explore bahan bacaan dan ilmu secara umumnya. The curiosity was sparks!

Kisah nakal saya dan arwah abang juga berlaku diperpustakaan negara. Kami pernah “ponteng sekolah” dan ke Perpustakaan Negara. So Nerd! Waktu itu saya berasa di tingkatan 1 manakala arwah di tingkatan 2. Kami ponteng kerana minggu tersebut merupakan minggu terakhir sebelum cuti sekolah dan selepasa tamat peperiksaan akhir tahun. Kerana bosan, kami culas untuk ikuti aktiviti yang disediakan sekolah (gotong-royong), maka pandai-pandai pula cari jalan fly ke Perpustakaan Negara.

Cuak juga ketika itu dengan berpakaian sekolah, kami “lepak” di sana hingga jam 5 petang dan kemudian naik bas balik semula ke rumah. Perasaan seronok berbaur serba salah. Itulah kali pertama dan terakhir saya ponteng sekolah. Sangat Skema! hahaha.

Kali terakhir saya ke perpustakaan negara ialah pada tahun 2012. Sewaktu saya baharu ingin memulakan kajian penyelidikan peringkat sarjana (master) saya. Cadangan kajian saya ketika itu adalah berkisar aksara dan tulisan Jawi. Oleh itu, saya usahakan untuk dapatkan bacaaan dan bahan berbentuk buku memandangkan kandungan bahan berkaitan tulisan Jawi di dalam talian (internet) adalah sangat sedikit.

Ketika itu jugalah saya terserempak dengan editor Majalah Dewan Bahasa. Beliau menawarkan saya untuk menulis dalam column majalah kendalian beliau berkaitan Tulisan Jawi dan arus teknologi. Inilah kali pertama saya terbitkan penulisan rencana ilmiah di media umum.

Cabaran Tulisan Jawi dalam Arus Teknologi

Kini, selepas hampir 20 tahun saya kembali semula ke Perpustakaan Negara, bersama harapan adakah suasananya akan sama?

Apa yang saya dapat hanya kecewa.

Pintu utama dan banguanan utama tidak dibuka dan digunakan lagi untuk kegunaan umum. Saya jangka barangkali dalam proses penambahbaikan dan sejak pendamik Covid, mereka telah berpindah ke ruang bangunan lebih kecil untuk mudah tadbir dan memandangkan kunjungan orang ramai kian berkurang.

2024, tahun ini saya datang kerana ingin dapatkan semula keratan akhbar penulisan saya yang berjaya diterbitakan atas kapasiti penulisan akademik mengikut kepakaran (Teknologi Maklumat). Selepas mengikuti bengkel anjuran PSPK UPM, saya berjaya terbitkan dua artikel akhbar. Satu artikel terbitan tahun lepas dan satu lagi terbitan tahun ini. Semestinya ia merupakan pencapaian terbaik diri saya setakat ini untuk berkongsi pandangan kepada umum.

Seperti yang saya maklumkan, perpustakaan negara ada menyimpan arkib lama akhbar fizikal. Bagi akhbar yang sekitar tahun 2024 dan beberapa tahun kebelakang, mereka ada simpan dalam bentuk fizikal. Naik sahaja ke Aras 6 dan terdapat kaunter untuk kita berikan maklumat tarikh dan jenis akhbar yang ingin kita perolehi.

Bahan tersebut hanya dipinjamkan dan kemudian wajib dikembalikan semula dengan mengisi borang ambil-pulang yang disediakan pegawai. Saya kemudian ke aras 7 untuk buat salinan berwarna. Alhamdulillah. Saya berjaya simpan artikel berkenaan dalam bentuk yang telah terbit di akhbar. Bolehlah saya kumpul dan bingkaikan. Biar menjadi pencetus semangat untuk terus menulis!

Akhbar Kosmo 3 Ogos 2023 dan Akhbar Utusan Malaysia 9 September 2024

Jika dibandingkan dengan senior-senior, apalah sangat dua artikel akhbar saya ini. Mereka lebih banyak terbitkan artikel sebegini. Namun, yang sering saya pelajari selama ini ialah untuk tidak membandingkan diri kita yang baru di Bab Satu buku dengan mereka yang sudah pun berada di Bab 10 buku. Juga, perlu saya selalu ingatkan diri, pesaing sebenar adalah diri kita. Untuk berjaya itu, adalah kita sendiri menjadi lebih baik dan semakin baik mendaki tangga kejayaan dan mencipta pencapaian-pencapaian yang terbaik dalam hidup kita. Yang paling pasti mereka semua adalah inspirasi!

Saya kongsikan beberapa gambar yang sempat saya ambil di Perpustakaan Negara tempoh hari. Berbagai perasaan dan perkara bermain di minda, adakah kerana arus teknologi dan digital telah “membasuh” terus pengunjung perpustakaan negara yang dahulu? Adakah buku fizikal sudah tidak reliven?.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan masih ada ibu bapa yang datang ke ruang bacaan kanak-kanak. Namun yang agak kecewa ialah kesunyian perpustakaan itu semakin sunyi dan hambar.

Adakah ini menjadikan indikator juga bahawa masyarakat kita sudah tidak gemar membaca? Atau adakah masyarakat sekarang lebih gemar santai di ruang seperti cafe hipster dengan gadget mahupun buku berbentuk fizikal? Adakah ini bermakna, perpustakaan perlu sediakan ruang sebegitu? dan adakah masyarakat telah beralih arah kepada bahan buku digital? adakah mereka lebih suka lihat content #TikTokBook berbanding membaca buku? Adakah buku digital dan buku audio atau pustaka digital lebih realistik dengan keadaan dan kehendak masyarakat sekarang?

Ya, begitulah sibuknya fikiran saya ketika saya sambil-sambil meneroka bangunan kecil bertingkat 12 yang menggantikan bangunan utama Perpustakaan Negara itu.

Moga ada penambahbaikan dimasa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *